SEGAMAT – Sebuah pasaraya di Jalan Kekwa, di sini, kerugian kira-kira
RM2,000 apabila pasaraya berkenaan dipecah masuk oleh seorang lelaki
yang memakai topeng Ultraman, awal pagi kelmarin.
Penyelia keselamatan pasaraya tersebut, Wan Norizan Wan Idris, 44,
berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, kelibat suspek
memecah masuk pasaraya itu berjaya dirakam oleh empat kamera litar
tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar kawasan tersebut.
“Suspek yang memakai topi itu memecah masuk ke dalam pasaraya ini dengan
memanjat pada tiang bahagian belakang bangunan kerana terdapat kesan
tapak tangannya selain rakaman yang jelas oleh CCTV.
“Suspek kemudian memakai topeng Ultraman bagi mengelakkan mukanya
daripada dirakam oleh CCTV sebelum bertindak melarikan pelbagai botol
minyak wangi, gel rambut, pewangi ketiak, wang syiling dan beberapa
keping kad isian semula,” katanya.
Menurutnya, dalam rakaman CCTV berdurasi 15 minit itu juga turut
menunjukkan suspek mencuba terlebih dahulu minyak wangi yang terdapat di
pasaraya tersebut sebelum bertindak menanggalkan dan meninggalkan
topengnya berhampiran alat pendingin hawa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil
Sukarmi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan
siasatan juga sedang dilakukan bagi mengenalpasti identiti suspek.
sumber: segamat.com.my
0 Response to "'Ultraman' Membuat Kejutan Awal Pagi Di Pasaraya Jadi Buruan Polis. "
Post a Comment