Johor Bharu : Dua suspek samun bersenjatakan parang maut selepas kereta Toyota Vios dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pikap Tenaga Nasional Berhad (TNB) di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuning di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian pada 12.10 tengah malam itu, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 28 dan 34 tahun kempunan menikmati hasil samun apabila mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Sementara itu, pemandu pikap Mitsubishi Triton cedera di kepala dan penumpang kenderaan berkenaan pula patah kaki kanan, kedua-dua mereka merupakan kakitangan syarikat TNB.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, suspek disyaki baru melakukan samun ke atas seorang lelaki berusia 33 tahun kira-kira 2.5 kilometer daripada lokasi kejadian maut itu.
“Kedua-duanya sebelum itu disyaki menyamun beg sandang mangsa sejurus lelaki itu keluar daripada kenderaan Toyota Wish untuk membeli makan di sebuah kedai di Jalan Abiad di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa tiba-tiba didatangi seorang suspek bersenjatakan parang pada masa itu dan terus merampas beg sandang miliknya yang berisi dokumen diri dan wang tunai RM200 sebelum melarikan diri bersama seorang rakan yang menunggu di kereta.
Beliau berkata, mangsa kemudian mengejar kereta dinaiki suspek yang memecut menuju ke Taman Pelangi sejauh 2.5 kilometer sebelum kenderaan suspek hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan bertembung dengan pikap TNB di Jalan Kuning.
Sulaiman memberitahu, ekoran kejadian itu, kereta dinaiki suspek dengan nombor pendaftaran PGT 9958 remuk teruk di bahagian hadapan sekali gus menyebabkan kedua mereka yang tiada pekerjaan maut di tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati, salah seorang suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau melibatkan penyalahgunaan dadah,” katanya kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN
0 Response to "Allah bayar cash ..dua lelaki maut selepas 10 minit menyamun"
Post a Comment