Ini cerita Marina (Bukan nama sebenar).
“Saya berusia 35 tahun berkahwin dengan seorang lelaki yang sudah mempunyai isteri dan empat orang anak yang sedang remaja. Saya bertugas sebagai kerani di sebuah bank. Kami berkahwin atas dasar cinta setelah berkenalan di satu seminar di utara tanah air lebih kurang enam tahun lalu.
“Setahun juga kami bercinta dan saya tahu dia suami orang dan ada anak. Akan tetapi masa itu semuanya indah. Walau suami orang saya rasa dihargai dan disayangi. Kami selalu berjumpa apabila suami ada tugasan di luar daerah di utara.
“Lama lama saya menerima lamarannya untuk menjadi isteri kedua. Walau keluarga melarang di peringkat awal tetapi saya berjaya memujuk ayah dan mak menerima suami yang dipanggil Iman (bukan nama sebenar) walaupun dia 10 tahun lebih tua dari saya ketika itu.
“Memang jodoh saya dengan dia amat kuat. Perkahwinan kami berlangsung dengan meriah tanpa sebarang kejadian tidak diingini. Suami hanya membawa rakan-rakan dan saudara mara yang rapat dengannya ke majlis pernikahan kami.
“Setelah berkahwin saya tinggal di utara dan dia tetap di Kuala Lumpur. Maknanya saya terpaksa berulang ke sana jika ingin berjumpa dengannya atau dia akan ke utara. Itu perjanjian kami. Setahun keadaan amat menyenangkan saya. Macam suami isteri lain saya merasa disayangi dan sangat bahagia.
“Setiap akhir bulan suami datang menemui saya. Jika dia tidak dapat datang saya akan ke Kuala Lumpur dan menginap di hotel. Hampir dua tahun hidup kami begitu sehinggalah saya mengandungkan anak sulung kami. Isteri pertamanya masih belum tahu tentang perkahwinan kami.
“Tahun kedua kami berkahwin, ujian mula datang, satu demi satu. Suami jarang datang berjumpa saya di utara. Telefon kurang dijawab, mesej tidak berbalas. Saya mula fikir yang bukan-bukan. Saya mendesak suami mengaku sama ada isterinya sudah tahu tentang perkahwinan kami. Dia berkata ya dan meminta saya supaya tidak risau kerana dia tahu apa yang hendak dibuatnya.
“Satu hari ketika saya sedang menunggu suami di hotel saya didatangi oleh seorang wanita yang mengaku dia isteri kepada Iman. Saya sangat terkejut dan hilang kata-kata. Saya dapat cam wajahnya kerana suami pernah menunjukkan gambar isteri pertamanya kepada saya.
“Saya cuba mengawal perasaan dan tidak menunjukkan rasa takut walaupun pada dasarnya memang saya sangat takut sebab tidak bersedia untuk menghadapinya dalam keadaan begini. Saya layan dia dengan baik dan bercakap dengan sebaik bahasa yang saya dapat.
“Dia juga tidak marah dan tidak meninggikan suara dengan saya. Dia hanya bagi amaran supaya saya tidak meminta yang bukan-bukan daripada suami kami kerana katanya suami tidak mampu. Mereka hidup senang kerana harta dan perniagaan yang dia buat.
“Saya beranikan diri bertanya dari mana dia tahu yang saya telah bernikah dengan suaminya. Dia ketawa dan berkata, setiap kecurangan pasti Allah akan tunjuk kebenarannya. Saya terdiam. Maknanya dia menyiasat tentang suami dan membongkar rahsia yang kami simpan hampir dua tahun ini.
“Betul tekaan saya dia mengintip pergerakan kami setelah syak suami sering berulang alik ke utara dan setiap hujung bulan akan ke luar. Memang saya duga perkara ini akan berlaku.
“Saya menjawab setiap soalannya dengan suara perlahan. Saya tidak takut, hanya bimbang tersalah cakap sehingga menimbulkan kemarahannya. Tapi Alhamdulillah dia wanita yang baik dan tidak menyerang saya membabi buta.
“Walaupun saya tahu dia kecewa dan marah tetapi sikapnya sangat baik terhadap saya. Pertemuan hampir sejam itu berlalu dalam keadaan yang sangat tertekan buat saya. Dia memberi amaran yang saya tidak akan dapat apa yang saya inginkan.
“Maksudnya hak saya untuk menyambut hari raya dengan suami, bercuti dan sebagainya tidak akan berlaku. Jangan mimpi katanya. Pendek kata dia sudah buat peraturan yang saya hanya di tempat kedua. Saya kena sedar diri dan tahu hak saya di mana.
“Saya tidak menangis di hadapan dia kerana tidak mahu nampak saya lemah, tetapi dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu. Sedihnya tidak dapat hendak digambarkan dengan kata-kata. Sampai hati dia buat saya macam ini. Yang saya pelik kenapa suami boleh biarkan dia datang berjumpa saya macam itu sahaja.
“Atau memang suami tidak tahu yang dia datang berjumpa saya. Selepas dia balik saya menangis tidak berhenti. Saya sedih dengan nasib saya selepas ini. Apa maknanya bernikah dan ada suami kalau masa depan saya gelap dan tidak bahagia seperti pasangan suami isteri lain.
“Saya lalu teringat kata-kata ibu dan ayah. Bukan mudah hidup bermadu. Kena sabar dan reda dengan apa yang bakal dilalui. Sekarang baru saya rasa apa yang ayah dan ibu kata itu benar belaka. Tetapi semuanya sudah berlaku. Takdir Allah untuk saya akan saya terima.
“Dua jam selepas kami berjumpa suami datang. Dia kelihatan resah dan macam orang bersalah. Sebelum saya buka mulut dia sudah minta maaf di atas apa yang berlaku. Benar sekali yang isteri pertamanya datang dengan izinnya.
“Katanya dia tidak ada pilihan. Isterinya mendesak supaya dia mengaku dan mahu berjumpa saya. Sudah lama dia tahu rahsia ini tetapi dia diamkan diri dan menunggu masa yang sesuai untuk bersemuka dengan saya dan suami.
“Dia sengaja biarkan suami ke luar daerah setiap hujung bulan kerana dia tahu suami berjumpa saya.
Dia kumpul bukti, gambar gambar kami bersama dan di mana kami pergi. Memang dia bijak.
“Sejak itu saya tidak mendapat hak saya. Suami tetap balik tetapi macam tergesa-gesa dan saya tidak lagi dibenarkan ke Kuala Lumpur oleh madu saya. Keadaan saya makin tertekan setelah anak kami lahir. Saya membesarkan anak seorang diri dengan bantuan keluarga. Ada suami macam tidak ada.
“Anak saya kini sudah berusia empat tahun. Sesekali sahaja dia berjumpa ayahnya. Pada hari raya pun dia jarang dapat beraya dengan ayahnya macam orang lain. Sebab ayahnya beraya di Kuala Lumpur bersama keluarga pertamanya.
“Saya mula bingung memikirkan hal ini. Belum sekali saya dapat menyambut hari raya bersama suami sejak kami bernikah. Saya mula rasa bosan dan sedih. Lebih lebih lagi apabila keluarga bertanya ke mana suami saya?
“Sekarang saya sedang memikirkan apakah yang terbaik untuk masa depan saya. Jika inilah yang berlaku untuk masa akan datang saya rasa elok saya hidup sendiri, tidak makan hati dan bersedih. Tapi bila memikirkan anak yang perlukan ayahnya saya tidak sampai hati.
“Tapi apa maknanya ada ayah jika setahun sekali nak beraya sama pun susah. Sebulan sekali datang menjenguk anak juga tidak mencukupi untuk memikul tanggungjawab sebagai ayah. Tidak dinafikan nafkah batin dan zahir saya diberi tetapi yang saya pentingkan kasih sayang dan perhatian seorang suami.
“Ayah dan mak malas hendak campur tangan sebab mereka sudah memberi amaran kepada saya sebelum bernikah dahulu. Berani buat kena tanggung, kata ayah. Masih saya ingat kata-kata ayah yang tegas itu.
“Saya masih berharap suami akan berubah dan tidak mendengar kata isteri pertamanya. Saya juga ada hak. Suami patut ingat dia ada tanggungjawab untuk saya dan anak kami. Dia harus berani berdepan dengan isterinya bukan menjadi pak turut.
“Jika keadaan tidak berubah saya terpaksa memikirkan semula hubungan kami. Bukan saya minta untuk berpisah tetapi saya perlukan jaminan untuk masa depan saya dan anak kami. Saya tidak sanggup lagi hidup begini selamanya.
“Anak pula selalu bertanya mana ayahnya? Sampai bila saya hendak sembunyikan dari anak yang ayahnya kerja jauh? Dia semakin besar dan semakin faham dengan kehidupan ibunya. Ini yang saya fikirkan. Semoga Allah bagi saya kekuatan untuk menghadapi hidup ini dengan tabah dan sabar.
“Kepada madu saya jika terbaca catatan ini atau semua wanita yang hidup bermadu, terutama isteri pertama janganlah sekat suami untuk berjumpa isterinya yang lain. Mereka juga ada hak untuk mendapat perhatian dan kasih sayang suami.
“Kami juga tidak minta untuk berkongsi suami tetapi takdir Allah yang menentukan begitu. Kita sama-sama kena terima dan reda. Semoga suami juga membaca dan membaiki kelemahannya sebagai suami. Ingat saya dan anak adalah amanah yang Allah berikan kepada abang.
“Semoga masih ada cahaya indah untuk saya dan rumah tangga kami dapat dipertahankan. Saya sayang suami dan saya hanya mahukan keadilan dalam ikatan perkahwinan ini,’’ Marina menamatkan ceritanya.
Sedih saya membaca cerita Marina. Memang tidak semua orang menerima nasib yang sama. Ada wanita yang bermadu hidup senang dan bahagia. Ada yang tidak seperti mana Marina hadapi.
- Utusan
0 Response to "Luahan sayu isteri kedua apabila disisih suami..."
Post a Comment