Dia yang enggan dikenali memberitahu, abangnya berperangai sedemikian sejak tujuh tahun lalu namun mereka tidak pernah merujuk perkara itu kepada pakar psikiatri atau mana-mana perubatan moden.
Menurutnya, abangnya yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak menetap di Ipoh serta bekerja sebagai pemandu lori merupakan seorang yang baik cuma berperangai pelik.
“Selepas ditahan polis, abang sempat menceritakan tentang kejadian yang dilakukannya. Dia berkata ternampak timbunan duit di tepi jalan di Slim River.
“Dia mahu mengambil duit tersebut namun dihalang oleh hantu lalu memotong kepala hantu yang didakwa dilihatnya itu,” dakwanya ketika ditemui hari ini.
Menurut wanita tersebut, dia terkejut dengan apa yang dilakukan oleh abangnya itu sambil menyifatkan ia sebagai dugaan berat yang dihadapi oleh mereka sekeluarga.
Katanya, dia tidak menyangka abangnya terlibat dalam kes itu kerana ketika berada ke rumah ibu dan bapa di sini baru-baru ini, abangnya tidak menunjukkan ge­lagat yang mencurigakan.
Tambahnya, abangnya berkelakuan seperti biasa malah sempat menunaikan solat Jumaat dan makan tengah hari bersama-sama sebelum ketibaan pasukan polis.
“Malah ketika polis mengepung rumah kami, saya masih tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah abang menunjukkan tempat dia meletakkan kepala mangsa dalam timbunan baja di hadapan rumah kami,” katanya - Utusan Online