KOTA TINGGI : Keluarga Noor Haryanti Safiai, 30, yang rentung dalam kemalangan selepas keretanya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dinaiki sebuah keluarga dari Singapura pagi ini terkilan kerana mangsa tidak sempat menjamah nasi goreng kegemarannya.
Bapanya, Safiai Mohamad, 60, yang nyata sugul dan bersedih menerima kematian anak sulungnya itu turut sempat bertemu Nor Haryanti sebaik sahaja pulang ke rumah selepas menunaikan solat subuh di masjid berhampiran rumah mereka di Felcra Sungai Ara dekat sini kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.
“Ibunya pula masih trauma sebaik menerima berita kemalangan ini, malah agak terkilan kerana arwah tidak sempat menjamah nasi goreng yang dimasaknya pagi tadi,” katanya yang ditemui di Hospital Kota Tinggi (HKT), di sini hari ini.
Safiai memberitahu, Nor Haryanti yang tinggal dan bekerja di Permas Jaya, Johor Bahru balik menziarahi mereka bersama-sama dua adiknya, Noor Amaliah, 28, dan Noor Najihah, 23, serta dua orang anaknya, Nornisa Ariyana, 3, dan Norhana Arisa, 2, petang semalam.
“Mujur adik-adik dan dua anaknya tidak bersama-samanya pergi ke tempat kerja hari ini,” katanya.
Menurutnya, suami mangsa, Mohd. Yusof Jamil, 30, yang bertugas sebagai anggota Polis Gerakan Am (PGA) di Simpang Renggam berada di Kuala Lumpur kerana bertugas di sana semasa kejadian ngeri itu. -UTUSAN ONLINE
0 Response to "Sayu : Identiti mangsa rentung .. Noor haryati tinggalkan dua anak kecil 2 dan 3 tahun (5Gambar)"
Post a Comment